Seumur hidup aku ini yang pertama, pintu hatiku diketuk oleh dua wanita…. Eh…. silap taip pulak, nak mampus kalau bini aku baca. Aku sebenarnya masih blur sebab seumur hidup aku, ini pertama kali dapat merasai pengalaman banjir besar 2021 yang melanda daerah Temerloh. Tiada siapa yang menyangka daerah Temerloh dilanda banjir besar dua kali dalam setahun iaitu pada awal tahun dan hujung tahun.
Bukan itu sahaja, ramalan kaji cuaca juga telah memberi amaran Temerloh bakal dilanda banjir sekali lagi dalam masa terdekat ketika artikel ini ditulis.
Banjir besar yang melanda negeri Pahang baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan yang sangat mendalam terutama di daerah Temerloh. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah dun Mentakab.
Apa yang aku tahu dan baca, banjir besar hujung tahun 2021 ini bukanlah disebabkan musim tengkujuh seperti biasa tetapi disebabkan oleh Taufan Rai yang membantai Filipina, tempias taufan tersebut merebak ke Semenanjung Malaysia. Dua negeri terjejas teruk akibat taufan tersebut adalah Pahang dan Selangor.
Hujan luar biasa lebat tanpa henti berhari-hari menyebabkan limpahan air sungai, menyebabkan kepala air yang menyapu semua di laluannya seperti yang berlaku di Janda Baik, tanah runtuh di Lebuhraya Karak, ribuan kayu balak memasuki kawasan penduduk di Bentong malah banjir luar biasa kali ini meragut nyawa yang agak ramai di Selangor dan Pahang.
Pengalaman Banjir Besar 2021 Di Temerloh
Daerah Temerloh sudah biasa dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh cuma teruk atau tak saja. Tahun 2021 memang lain macam sungguh penangan banjir, dua kali dalam setahun, awal dan hujung tahun. Kedua-duanya banjir besar tetapi hujung tahun paling meninggalkan kesan.
Artikel Menarik;
Bagi aku sendiri, banjir awal tahun 2021 menyebabkan kawasan aku tinggal terkepung oleh air banjir. Aku tak dapat pergi kerja di bandar Temerloh, tiada laluan semuanya dinaiki air. Situasi semasa itu agak membimbangkan juga tetapi aku masih dikira bernasib baik kerana rumah tidak banjir.
Namun….. banjir besar hujung tahun yang bermula lebih kurang 20/12/2021 sangat di luar jangkaan. Tiada siapa menyangka daerah Temerloh akan dilanda banjir besar kali kedua dalam tahun yang sama. Aku sendiri pun sampai ketika artikel ini ditulis masih termenung mengenangkan nasib menjadi mangsa banjir pertama kali.
Kawasan aku tinggal ini tak pernah dinaiki air walaupun beberapa kali siri banjir besar melanda Temerloh seperti tahun 2007, 2014 (ini banjir paling teruk), awal tahun 2021 dan penyudahnya hujung tahun 2021 aku menjadi mangsa banjir.
Memang aku tak jangka langsung akan jadi mangsa banjir, aku tak buat apa-apa persediaan. Tanpa aku sangka rumah dinaiki air sedalam paha! Apa yang musnah?
- Kereta wira yang aku beli sejak zaman bujang dan masih digunakan sebagai kereta berkerja tenggelam
- Perabot seperti almari pakaian, rak tv dan rak makanan
- Beberapa keping tilam
- Periuk canggih pelbagai guna yang isteri beli
- Beberapa bakul pakaian yang terendam dalam air banjir
- Dokumen penting seperti surat beranak anak-anak, geran tanah, geran kereta dan motor dan pelbagai dokumen lain
Peti sejuk dan mesin basuh? yang ini selamat. Itupun selepas bersihkan dan jemur dahulu, bila cuba pasang terus hidup macam biasa Alhamdulillah.
Apapun, syukur kepada Allah kerana keluarga selamat. Ini paling penting. Harta yang musnah memang kita sedih tetapi nyawa keluarga jika hilang tiada pengganti.
Jangan Ambil Mudah, Banjir Tak Memilih Mangsa!
Apa pengajaran daripada pengalaman banjir besar 2021 kepada diri aku sendiri? banjir boleh kena kepada sesiapa saja. Tak kisahlah sebelum ini tak pernah kena walaupun banjir paling besar seperti tahun 2014.
Jangan ambil mudah! selepas ini beringat. Sayangi nyawa dan harta benda. Pengalaman pertama kali menjadi mangsa banjir baru aku sedar yang kesannya sangat besar.
Penatnya mengemas rumah selepas banjir surut hanya Tuhan yang tahu. Sakitnya badan, kejang segala urat betis, peha dan seluruh badan. Apapun, terima kasih kepada keluarga dan rakan yang membantu membersihkan rumah dan mencuci barangan yang boleh digunakan.
Aku tak boleh bayangkan mereka yang rumahnya tenggelam habis, itu lagi parah. Aku yang tengelam paras paha pun terasa sangat azabnya. Itu belum lagi bagi mereka yang hilang seluruh rumah akibat banir, hanya tinggal tangga rumah saja seperti di Kampung Batu Kapur, Mentakab. Balik rumah tiada apa nak basuh sebab rumah pun dah hilang. Lagi sedih …..
Ok cukuplah setakat ini. Aku kongsikan sedikit gambar-gambar kenangan sebagai mangsa banjir Temerloh 2021.







Pingback: Pengalaman Seram Naik Cable Car Genting Highlands - From Temerloh With Love
Pingback: Aircond Viva Tak Sejuk. Apa Sebab? - From Temerloh With Love
Pingback: Kawasan Hotspot Banjir 2022 (Pahang) - From Temerloh With Love