Temerloh sebuah daerah yang terkenal di Pahang dengan jolokan Bandar Ikan Patin dan Titik Tengah Semenanjung. Bagi anak jati Temerloh, adakah anda tahu sejarah dan asal usul Temerloh bermula dari Kuala Semantan? Aku pun sebagai anak jati Temerloh tak berapa tahu sangat walaupun ada dengar-dengar cerita tersebut tetapi tak tahu kisah yang sebenarnya,
Oklah, aku pun seperti biasa membuat kajian dan melayari internet untuk mengetahui kisah di sebalik asal usul Temerloh. Aku ada terjumpa beberapa blog yang menceritakan asal usul Temerloh dan mungkin boleh dikongsikan untuk bacaan anda.
Betul ke kisahnya? Kita tolak ke tepi dahulu. Baca dan nilailah sendiri. Buat kajian atau tanya dengan orang-orang tua yang masih hidup untuk mengetahui kesahihan kisah tersebut.
Asal Usul Temerloh Bermula Dari Kuala Semantan
Menurut cerita seorang tokoh yang terkenal di Pahang iaitu Haji Zakaria Hitam, Bandar Temerloh yang ada sekarang berkembang dari penempatan sebuah kuala sungai di Sungai Pahang yang bernama Kuala Semantan.
Beliau juga mengatakan bahawa nama lama bagi Temerloh ialah Kuala Semantan. Justeru itu adalah perlu untuk diketahui sejarah asal usul Kuala Semantan kerana dari sinilah lahirnya Bandar Temerloh.

Bandar Temerloh (Kuala Semantan) Sebelum Tahun 1926
Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit. Mengikut ceritanya, nama ‘Semantan’ itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Mesti Baca: Apa Bukti Temerloh Titik Tengah Semenanjung?
Perkataan ‘Semantan’ itu terbit dari perkataan ‘Seman Tahan’ . ‘Seman Tahan’ merupakan seorang Brunei yang menetap di tanjung sebelah kanan kuala, salah sebuah anak Sungai Pahang . Osman yang dikenali sebagai Seman ini merupakan seorang yang pandai bersilat dan banyak ilmunya. Disebabkan oleh kepandaiaannya,maka ramai orang yang tinggal di sekitar tempatnya datang berguru dengan Seman.
Disamping pandai bersilat, Seman juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama ‘Seman Tahan’ semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu.
Oleh kerana kemasyurannya ini, maka nama ‘Seman Tahan’ diabadikan kepada sungai yang terdapat disitu. Dari situlah nama sungai itu menjadi sungai Seman Tahan. Sungai Seman Tahan itu lama kelamaan menjadi sungai Semantan (mungkin untuk penyebutan yang mudah dan ringkas) dan kuala yang terdapat di Sungai Semantan masih kekal hingga ke hari ini.
Oleh kerana ramai yang berpindah ke Kuala Semantan untuk berguru dengan Seman Tahan menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan yang terkenal semasa sebelum kedatangan British.
Mesti Baca: Senarai Kedai Makan Patin Tempoyak Temerloh Paling Sedap!
Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan , maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan. Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan ‘kuala’ itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang .Oleh kerana itu nama Temerloh telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu.
Temerloh, seperti juga kawasan-kawasan lain di negeri Pahang , mendapat namanya melalui satu peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan .Menurut Haji Zakaria Hitam (beliau mendapat cerita ini daripada orang-orang tempatan) nama Temerloh itu berpunca daripada perkataan ‘mereloh’ .

Masjid Baru Temerloh
Ini berdasarkan pada satu peristiwa yang berlaku di sebuah anak sungai di kiri hilir Sungai Pahang bertentangan dengan Pulau Temerloh. Pada suatu hari ada seorang Minangkabau mendarat di kuala anak sungai itu .Semasa beliau berada di kampung tersebut , beliau melihat seorang sakai yang asyik mereloh (tidur) sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal lain .
Dari peristiwa itulah terbitnya perkataan temerloh yang kemudiannya diambil untuk menamakan kawasan yang baru dibuka itu . Pendapat yang mengatakan nama Temerloh itu datangnya dari perkataan mengeloh juga dipersetujui oleh beberapa tokoh tempatan lainnya seperti Ishak Haji Muhammad dan Haji Omar walaupun peristiwa-peristiwa yang mereka ketahui agak berlainan sedikit. Sumber Artikel
Mesti Baca: Jom Tengok 6 Tempat Menarik Di Temerloh
Begitulah serba sedikit aku kongsikan cerita dan kisah bagaimana asal usul Temerloh bermula dari Kuala Semantan.
Kalau nak tahu lebih lanjut anda cubalah Google, bertanya dengan orang tua atau ke perpustakaan.. ada banyak lagi cerita menarik bermulanya daerah Temerloh sehingga sekarang.
Pada aku, tak kira di mana kita lahir jangan tak ambil tahu langsung bagaimana daerah kelahiran kita bermula. Kajilah sejarah sedikit ok 🙂