Perkara Yang Membatalkan Puasa Dan Soal Jawab Kemusykilan Puasa

Perkara yang membatalkan puasa kita dah belajar sejak sekolah rendah lagi. Mungkin kita ingat-ingat lupa betul tak? Aku sendiri pun lebih kurang saja. 

Sebagai peringatan kita bersama marilah kita ulangkaji semula apakah di antara contoh perkara yang membatalkan puasa. Harap puasa tahun ini selamat.

Jom Ulangkaji Apakah Perkara Yang Membatalkan Puasa

Perkara Yang Membatalkan Puasa

Mesti Baca: Fadhilat Dan Kelebihan Berpuasa Ramadhan

Rugilah kalau kita sekadar penat, lapar dan dahaga sahaja berpuasa sepanjang hari tetapi kita tak sedar telah melakukan perkara yang membatalkan puasa Ramadan. Jom kita tengok apakah di antaranya:

1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
2. Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.
3. Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).
4. Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak keluar mani.
5. Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk-cium dan sebagainya.
6. Kedatangan haid atau nifas.
7. Gila walaupun hanya sekejap masa.
8. Mabuk atau pengsan sepanjang-panjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
9. Bersalin.
10. Berbuka puasa sebelum yakin terbenam matahari.
11. Murtad – iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.

Soal Jawab Kemusykilan Perkara Yang Membatalkan Puasa

Mungkin kita ada kekeliruan atau kemusykilan berkaitan perkara yang membatalkan puasa. Jom kita tengok di antara persoalan yang sering menghantui di antaranya:

1. Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa?

Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub.

2. Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?

Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi) puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa atau dipaksa melakukan sesuatu.” (Riwayat At-Tabarani)

3. Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini?

Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan.

Mesti Baca: Rebut 5 Amalan Sunnah Bulan Ramadhan

Perkara Yang Membatalkan Puasa

Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. (Sila rujuk di atas). Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong.

Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.

4. Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?

Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang.

Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa. (Sila rujuk soalan di atas)

5. Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit semput) ketika berpuasa?

Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan seuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara’. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.

6. Adakah suntikan “insulin” membatalkan puasa?

Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.

7. Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang itu berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya. Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?

Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati.

Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.

8. Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?

Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.

Mesti Baca: Makanan Dan Minuman Popular Bazar Ramadhan

Itulah di antara soal jawab perkara yang membatalkan puasa. Kita kena ambil tahu sebab rugi berpuasa sepanjang hari tetapi kita tak sedar puasa telah terbatal.

Kalau nak tahu lebih banyak lagi boleh merujuk kepada orang yang berilmu seperti ustaz, imam atau rujuk pejabat agama sama ada terus ke pejabat atau kunjungi Laman Web mereka.

1 comment on “Perkara Yang Membatalkan Puasa Dan Soal Jawab Kemusykilan Puasa

  1. Pingback: 5 Khasiat Kurma Yang Kita Tidak tahu - From Temerloh With Love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *