Cara Menipu Pilihan Raya

      1 Comment on Cara Menipu Pilihan Raya

Malaysia sedang menjadi tumpuan dunia kerana pada 09 Mei 2018 (Rabu) rakyat di negara ini akan memilih kerajaan yang akan menerajui negara untuk 5 tahun akan datang. Pilihan raya umum ke-14 dianggap paling sengit dalam sejarah kerana menjadi medan pertembungan anak murid dengan guru serta musuh lama kembali bersatu dengan impian untuk mendapatkan kuasa. Banyak cakap-cakap terutama di pihak pembangkang yang kerajaan sementara pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada parti Barisan Nasional akan cuba menipu dan “mencuri” kemenangan pembangkang dalam PRU14. Betul ke? Bagaimana cara menipu pilihan raya yang didakwa oleh blok pembangkang?

Aku memilih jalan selamat untuk berkata kemungkinan untuk menipu dalam PRU14 ini sangat kecil kerana aku tak berapa nampak cara menipu pilihan raya kalau kiraan undi dibuat secara bersama. Lainlah kalau pihak SPR saja yang mengira undi tanpa penglibatan calon atau wakil daripada parti yang bertanding.

cara menipu pilihan raya

Tetapi yang menjadi sedikit kemusykilan adalah undi pos. Aku tak berani cakap undi pos tak telus kerana aku tak pernah terlibat sebagai pengudi pos. Persoalan yang bermain dalam fikiran aku bagaimana undi pos selamat dan tidak diganggu sehingga hari pengiraan undi pada 09 Mei 2018 nanti.

Sejauh mana tahap keselamatan undi pos tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kita harap pihak berkuasa bekerja keras menjaga keselamatan undi pos dan kita ucapkan terima kasih atas kerja keras mereka.

Cara Menipu Pilihan Raya. Apa Kata Pembangkang Dan Kerajaan Sementara?

Bab menipu pilihan raya ini bukan perkara baru. Macam-macam yang dah kita dengar terutama cakap-cakap daripada pihak pembangkang tetapi benarkah dakwaan tersebut?

Apa contoh cara menipu pilihan raya yang sering diperkatakan pihak pembangkang? Cuba kita lihat di antara dakwaan tersebut.

  • Pengundi hantu, pengundi import Bangladesh dan seangkatan dengannya.
  • Sengaja “black out” semasa pengiraan undi untuk bawa masuk peti undi pos
  • Senarai pengundi sudah diubah sehingga 4 juta tidak ada alamat yang penuh.
  • Beratus pengundi mempunyai nama yang sama, umur sama tetapi tinggal di negeri-negeri berlainan.
  • Hingga 70 pengundi memiliki alamat yang sama – iaitu tinggal di satu rumah – walaupun berlainan kaum. Apabila diselidik terdapat hanya 2 orang di rumah itu.
  • Pengundi pos dan pengundi awal bertambah hingga 1 juta. Cara mengundi pos tidak jelas dan terbuka untuk penipuan. Peti undi boleh disembunyi dari pemerhati parti lawan. Besar kemungkinan kertas undi ditambah.
  • Sempadan kawasan pilihanraya diubah supaya kaum-kaum diasingkan. Kononnya Melayu mudah disogok supaya mengundi BN. Mengikut Barisan Nasional, orang Cina sukar disogok. Ini dilihat dalam PRU13.
  • Pengundi terutama kakitangan Kerajaan ditakutkan dengan dakwaan kononnya Najib tahu siapa undi siapa.
  • Bantuan wang kepada parti lawan disekat dengan tindakan oleh LHDN dan MACC menambah cukai atau membeku wang di bank supaya perniagaan tidak dapat diteruskan.
  • Semua kawan-kawan pemimpin parti lawan ditegah berdekat dengan pimpinan parti lawan. Maka pemimpin parti lawan kehilangan semua kawan.
  • Sogokan wang dan barangan kepada bakal pengundi dibuat secara terbuka oleh Najib dan UMNO sebab polis atau MACC tidak dibenar oleh Najib mengambil tindakan undang-undang.
  • Tempat mengundi ditukar tanpa diberitahu pengundi supaya apabila mereka pergi ke tempat mengundi biasa nama mereka tidak ada disitu. Tempat undi mereka dipindah jauh dari tempat tinggal pengundi. Dengan itu mereka tidak dapat mengundi. Hak mereka dicabul.
  • Daftar pengundi baru disembunyi daripada parti lawan sehingga tidak dapat parti lawan berkempen dikalangan mereka.
  • Pada kebiasaannya parti politik yang baru ditubuh didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan dengan segera. Tetapi permohonan gabungan parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan tidak dijawab setelah sembilan bulan berlalu.
  • Kononnya P.H. tidak dilulus pendaftarannya ialah kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah tidak mengikut perlembagaannya.

Mesti Baca: Jangan Marah Kalau Bendera Parti Dipersilakan Ke Longkang!

cara menipu pilihan raya

Ini dakwaan pihak pembangkang yang aku petik daripada blog CheDet milik Tun Dr Mahathir. Kalau nak baca artikel penuh Baca Sini

Untuk berlaku adil kita kena lihat pula apa kata pihak kerajaan sementara Barisan Nasional berkenaan dakwaan cara menipu pilihan raya tersebut.

Najib Kata Susah Untuk Menipu Dalam Pilihan Raya

Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib berkata susah untuk menipu dalam pilihan raya kerana banyak penambahbaikan telah dibuat terhadap sistem pilihan raya.

Kata beliau lagi, cara menipu pilihan raya yang didakwa pembangkang adalah sistem sama yang mengangkat Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Malah sistem pilihan raya di negara kita menjadi lebih telus berbanding dulu. Kita ada polling agent counting agent (ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi atau) dan kita ada sistem dakwat jadi peluang untuk menipu boleh kata tidak ada langsung,” katanya.

Berdasarkan dakwaan pihak pembangkang dan kenyataan balas daripada pihak kerajaan sementara, apa pendapat anda?

Apakah boleh terjadi penipuan dalam pilihan raya?

Dengan sebegitu banyak dakwaan cara menipu pilihan raya yang didakwa oleh pembangkang, kita sebagai rakyat hendaklah berfikir secara rasional.

Kalah menang adat bertanding. Pihak yang kalah kena kerja kuat lagi untuk meraih sokongan rakyat. Bagi yang menang pula jangan mendabik dada. Kalau menang cara baik aku respek tetapi kalau menang cara kotor memang celaka sungguh.

Ok cukup setakat ini. Kita tunggu saja PRU14 pada 09 Mei 2018 nanti. Kita tengok apakah dakwaan cara menipu pilihan raya ini benar atau sekadar cakap kosong saja untuk meraih sokongan pengundi.

1 comment on “Cara Menipu Pilihan Raya

  1. Pingback: Apa Jadi Kalau Batal Projek ECRL? - From Temerloh With Love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *